GOMBAK: Seorang bapa mentua sanggup membelasah menantu hanya kerana wanita berkenaan mempersoalkan tindakannya yang tidak membenarkan a...

Bapa mertua dan adik ipar belasah menantu kerana mempersoal tindakan menggunakan pili



GOMBAK: Seorang bapa mentua sanggup membelasah menantu hanya kerana wanita berkenaan mempersoalkan tindakannya yang tidak membenarkan anaknya menggunakan pili air untuk mencuci longkang di kediaman mereka di Rawang, di sini, kelmarin.



Lebih malang, mangsa berusia 37 tahun itu bukan sahaja menerima sepak terajang bapa mentuanya berusia 50-an malah adik iparnya turut cuba menyerangnya dengan parang selain mengugut ingin melanggarnya dengan kereta hingga mati.


Bimbang dengan tindakan terbabit, mangsa yang tidak bekerja membuat laporan di Balai Polis Rawang.

Sumber berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang sedang menonton televisyen kira-kira jam 2 petang terdengar bapa mentua menengking anaknya yang sedang mencuci longkang di luar rumah.


“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudian keluar dan bertanya punca bapa mentuanya bertindak sedemikian, namun turut dimarahi konon anaknya itu membazir air kerana mencuci longkang.


“Mangsa yang tidak berpuas hati cuba menegur secara baik, namun tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu bertambah marah kerana mangsa cuba mempersoalkan tindakannya menyebabkan dia terus menyerang dengan menumbuk perut dan menendang mangsa,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan namun tidak diendahkan menyebabkan dia bertindak berani menolak lelaki terbabit sebelum berlari masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu.


“Sangkaan mangsa bapa mentuanya akan berhenti memukulnya ternyata meleset apabila lelaki itu bagaikan dirasuk terus menendang pintu bilik sehingga pecah dan membaling mangkuk kaca ke arahnya namun sempat mengelak.

“Tidak cukup dengan itu, adik iparnya turut datang dengan membawa sebilah parang dan cuba menetak mangsa, namun tidak sempat apabila ibu mentuanya sempat menghalang meleraikan pergaduhan terbabit,” katanya.


Sumber berkata, adik ipar mangsa turut mengugut akan melanggar mangsa dengan kereta hingga mati selepas ini gara-gara tidak berpuas hati mangsa menegur perbuatan bapanya itu.

Sumber dari: Metro