KUALA LUMPUR: Lima bulan hidup bersama teman wanita ganas menyebabkan seorang kakitangan kerajaan kini dalam ketakutan selepas bukan sa...

5 bulan BF kakitangan kerajaan ketakutan, Tinggal sebumbung bersama GF ganas,.



KUALA LUMPUR: Lima bulan hidup bersama teman wanita ganas menyebabkan seorang kakitangan kerajaan kini dalam ketakutan selepas bukan saja diugut bunuh malah, sering dibelasah dengan kayu dan penyapu hingga cedera setiap kali mereka bertengkar.


Mangsa yang berusia 32 tahun tinggal bersama kekasih ganasnya itu dalam unit apartmen milik mangsa di Damansara, Petaling Jaya, dekat sini sejak Mac lalu dan sering bertengkar kerana teman wanitanya mempunyai sikap panas baran.


Hanya ingin dikenali sebagai Zack, mangsa mendakwa ketika bertengkar, kekasihnya itu sering mengamuk dan memecahkan barangan dalam rumah serta memukulnya.

Katanya, dalam kejadian terbaru pada hari pertama Ramadan lalu, teman wanitanya yang berusia lewat 20-an itu turut mengugut ingin menikamnya dengan pisau hanya kerana dia enggan membelikan dapur masak yang diingini wanita ganas terbabit.


“Dia (kekasih) meminta membeli sejenis dapur yang mahal, namun saya tidak mahu membelinya kerana terlalu mahal dan perkara itu menyebabkannya marah serta mengamuk dan memukul saya sambil memecahkan pelbagai barang dalam rumah termasuk cermin mata dan telefon bimbit saya.


“Tidak cukup dengan itu, dia mengambil pisau dan menggugut ingin membunuh saya. Bagaimanapun, saya hanya mendiamkan diri serta tidak melawan dan lari sembunyi dalam bilik kerana bimbang perkara lebih buruk terjadi,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, tidak cukup dengan membelasah hingga cedera pada badan dan muka, kekasihnya itu juga bertindak mengurungnya dalam rumah selama 20 jam sebelum seorang rakan datang membantu dengan memecahkan pintu jeriji rumah untuk membebaskannya.


“Bukan setakat mengurung saja, malah lebih kejam dia turut mengambil kad sim dan memori telefon bimbit saya yang dihancurkan supaya saya tidak dapat meminta bantuan untuk keluar rumah serta melarikan kereta dan kunci rumah.

“Namun saya bernasib baik kerana komputer riba dan internet masih berfungsi, membolehkan saya berhubung dengan seorang rakan serta meminta bantuan untuk dibebaskan,” katanya.


Katanya, sebaik keluar dari rumah, dia dan rakan terus membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana bimbang wanita terbabit bertindak lebih ganas hingga mengancam nyawanya.


“Saya membuat laporan polis bagi mengelak sebarang perkara lebih buruk berlaku dan sebagai langkah untuk mendapatkan kembali kunci rumah serta kereta yang dilarikan.


“Beberapa hari selepas itu, saya mendapatkan semula kereta dan kunci rumah dengan bantuan polis. Bagaimanapun, saya tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kerana yakin kekasih saya itu mempunyai masalah mental, namun saya tidak bersamanya lagi kerana serik dipukul serta bimbang keselamatan diri,” katanya.

Sumber dari: Metro