(Laporan NST yang dikecami banyak pihak)

KOTA BHARU: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor memfailkan saman dalam kamar bagi membatalkan tuntutan dikemukakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Julai lalu memohon tuntutan ke atasnya dibatalkan atas alasan saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan tidak menepati kehendak Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi Malaya 1980.
Peguam Hisham Fauzi berkata, mahkamah menetapkan pendengaran saman dalam kamar tersebut pada 28 Ogos akan datang di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Hisham bersama pasukan peguam termasuk Hanipa Maidin dan Aminudin Zulkipli mewakili Menteri Besar Kelantan.
Manakala Rahim diwakili peguam Datuk Hafarizam Harun dan Datuk Firuz Husin Ahmad Jamaludin.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit ekoran kenyataannya dalam akhbar New Straits Times bertajuk “Nik Aziz is father of kafir” yang disiarkan pada 8 Mei lalu.
Sebelum ini Rahim bersama enam lagi defendan didesak menarik balik berita fitnah tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada plaintif.
Plaintif juga menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta terhadap perbuatan fitnah yang telah disiarkan di akhbar New Straits Times.
Selain Rahim enam lagi dinamakan sebagai defendan iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Imran Abdullah, Abdul Jalil Hamid, Syed Nadzri Syed Harun dan The New Straits Times Press (M) Bhd.
Ekoran kenyataan tersebut penyokong PAS dan orang ramai membuat beberapa laporan polis terhadap Rahim yang disifatkan mereka sebagai melampau.
Sumber dari: Harakah

.jpg)