UMBAI - Tidak pasti apa puncanya, sembilan kanak-kanak dari tiga buah keluarga, di sini, mengalami masalah kulit seperti melecur selepa...

Pulang dari taman tema kulit menjadi seperti melecur



UMBAI - Tidak pasti apa puncanya, sembilan kanak-kanak dari tiga buah keluarga, di sini, mengalami masalah kulit seperti melecur selepas balik dari aktiviti perkelahan di sebuah taman tema air di negeri ini.



Selain kanak-kanak berkenaan, difahamkan, terdapat 15 orang lagi menghadapi masalah sama yang turut mendakwa mengalami masalah kegatalan kulit yang serius, di samping demam, batuk dan selsema.

Salah seorang mangsa, Hamima Khamis, 43, dari Taman Balqis, Kampung Bukit Tembakau, di sini, berkata kejadian disedari selepas mereka pulang dari aktiviti perkelahan di lokasi terbabit, Ahad lalu.

Menurutnya, sebaik saja pulang ke rumah, dia bersama ahli keluarga lain mula terasa sesuatu tidak selesa pada bahagian muka serta keseluruhan badan.

“Kulit kami terutama pada bahagian muka pada mulanya terasa amat pedih dan panas. Kemudiannya bertukar menjadi gatal sehingga menggelupas bagaikan melecur terkena air panas.

“Akibat terasa malu untuk keluar rumah, kami mengambil keputusan mendapatkan rawatan di klinik sehingga penyakit itu reda,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di sini semalam.

Masalah sama turut dihadapi Norhaliza Mohd Nor, 27, dari Merlimau apabila mendakwa dua anaknya berusia lima dan empat tahun menghadapi masalah kulit menggelupas selepas pulang dari taman tema terbabit.

Malah, katanya, anaknya tidak dapat tidur malam dan kerap menangis akibat tidak tahan dengan kesan daripada masalah berkenaan.

"Kulit dua anak saya mengelupas teruk bagaikan dicurah air panas.

“Mereka turut mengalami demam dan batuk sehingga akhirnya saya membawanya ke Klinik Kesihatan berhampiran. Pada mulanya muka dan sebahagian badan mengalami bengkak-bengkak, tetapi kemudian kulit anak saya terus terkopek sehingga kini,” katanya.

Kedua-dua keluarga berkenaan berkata, mereka sudah melaporkan mengenai kesan dialami kepada pihak pengurusan taman tema berkenaan, namun belum ada sebarang maklum balas.

Berikutan itu, katanya, mereka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ekoran kejadian berkenaan.

Sumber dari: Sinar