KUALA BERANG: “Dalam keadaan sakit menahan bisa ular, saya menggagahkan diri memandu kereta kira-kira setengah jam untuk sampai ke Hosp...

Pandu ke hospital sambil tahan bisa ular



KUALA BERANG: “Dalam keadaan sakit menahan bisa ular, saya menggagahkan diri memandu kereta kira-kira setengah jam untuk sampai ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum pengsan di hospital itu,” kata Husin Ali, 43, yang hampir maut selepas dipatuk seekor ular kapak, semalam.



Husin berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di kebunnya di Kampung Landas, Ajil, dekat sini, pada jam 10.20 pagi sebelum dipatuk ular sepanjang satu meter itu di betis sebaik dua langkah meninggalkan keretanya.


“Isteri saya, Asmuni Awang, 43, yang turut ke kebun mengambil dua kayu dan memukul ular itu sehingga mati.

“Walaupun kesakitan, saya memandu ke HHT dengan ditemani isteri, tetapi setibanya di sana, isteri memberitahu saya pengsan selama setengah jam selepas diberikan empat jarum suntikan untuk melawan bisa ular itu.


“Sebaik sedar, saya sudah berada di wad dan bersyukur kerana selamat,” katanya ketika ditemui di HHT, di sini, semalam.


Asmuni berkata, sebaik melihat suaminya cedera dipatuk ular, dia panik dan mencapai kayu untuk memukul reptilia itu.

“Ular itu tidak bergerak selepas mematuk suami sebelum saya nekad memukulnya menggunakan dua kayu,” katanya