KOTA BHARU - “Pagi tadi sebelum kemalangan berlaku anak saya buat pertama kalinya mengejutkan saya bangun dari tidur dan dalam masa sama dia kelihatan bersemangat untuk keluar berniaga,” kata Mohd Nasir Zaminuddin, 39, bapa kepada mangsa, Muhammad Elffie Farhan, 18 yang maut dalam kemalangan berhampiran Masjid Al-Taqwa, Paya Bemban, Jalan Hospital, di sini, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.
Menurutnya, mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik tersebut dan berasal dari Kampung Cherang begitu rapat dengannya dan tidak menyangka perangai pelik yang ditunjukkan oleh Elffie menandakan dia akan pergi buat selamanya.
Mohd Nasir juga seorang peniaga berkata, beberapa jam sebelum kejadian dia keluar terlebih dahulu ke tapak pasar minggu di Kedai Buloh menaiki van, manakala Elffie menyusul kemudian dengan menunggang motosikal bersama rakannya.
“Sebaik sahaja sampai di Kampung Cina, saya menerima panggilan daripada abang mangsa mengatakan Elffie terlibat dengan kemalangan dan terus patah balik ke tempat kejadian.
“Sampai di sana saya melihat mayat Elffie terbaring di atas bumbung kereta yang melanggarnya dan pada masa itu perasaan saya sudah bercelaru,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, semalam.
Menurutnya, apa yang menyedihkan lagi apabila mengenangkan hasrat anaknya itu untuk menyambung pengajian di Politeknik dan melibatkan diri di dalam bidang perniagaan sama sepertinya tidak kesampaian.
Jenazah Elffie dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Cherang pada jam 4 petang sebaik sahaja bedah siasat siap dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu dari arah lampu syarat Barek 12 menghala ke lampu isyarat Cherang didakwa cuba membelok ke kanan.
“Bagaimanapun apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kereta tersebut membelok ke kanan dan motosikal yang datang dari arah lampu isyarat Cherang telah melanggar hadapan sebelah kiri kereta itu.
“Mangsa dikatakan melambung dan mati di atas bumbung kereta, manakala rakan mangsa yang membonceng hanya mengalami cedera ringan, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sumber dari: Sinar