AURORA - Lelaki yang didakwa melepaskan tembakan sehingga menyebabkan 12 terbunuh ketika tayangan filem Batman di Aurora, Colorado minggu lalu, muncul di mahkamah buat kali pertama semalam dengan kelihatan 'bingung'.
Pihak pendakwa raya dijangka mengenakan tuduhan secara formal pada 30 Julai ini.
James Holmes, 24, hadir dengan pakaian penjara berwarna merah dan kelihatan bingung ketika prosiding awal semalam, yang diadakan dengan kawalan ketat.
Holmes akan terus ditahan di sebuah penjara di Centennial, Colorado tanpa diberi kebenaran ikat jamin, kata hakim.
Dia juga tidak menjawab sebarang soalan, yang dikemukakan oleh hakim semasa prosiding.
Suspek dituduh itu membaling dua kanister gas di pawagam yang ketika itu menayangkan filem The Dark Knight Rises sebelum melepaskan tembakan secara rambang.
Sembilan daripada 58 yang cedera dilaporkan kritikal.
Mangsa yang maut termasuklah seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS).
Holmes yang muncul di mahkamah pada jam 9.30 pagi waktu tempatan, dijangka berhadapan dengan 12 tuduhan membunuh.
Dia juga kemungkinan akan berhadapan dengan tuduhan tambahan melakukan serangan melampau dan melanggar undang-undang pemilikan senjata.
Seorang lagi pendakwa raya berkata kes itu dijangka akan memakan masa setahun lagi untuk didengar.
Pegawai pendakwa dari Carol Chambers sedang mempertimbangkan kemungkinan memohon hukuman mati ke atas Holmes. Bagaimanapun keputusan itu akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga-keluarga mangsa.
Sumber dari: Sinar

.jpg)