ORANG ramai melihat anggota polis memeriksa mayat salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ, Melaka semalam.

Kemalangan Maut: Cerita duka keluarga Zubaidah



ORANG ramai melihat anggota polis memeriksa mayat salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ, Melaka semalam.



MELAKA – Seorang ibu yang masih bersedih atas kematian anak kedua kerana kanser usus bulan lalu sekali lagi diuji apabila kehilangan anak keempatnya pula yang maut dalam kemalangan di lampu isyarat Peringgit/Melaka Sentral Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) dekat sini semalam.

Kejadian pukul 2.50 pagi itu mengakibatkan Muhammad Firdaus Md. Said, 19, maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback yang terbabas.

Turut maut ialah penumpang kereta itu, Abdul Rahup Yusof, 19, akibat cedera parah dan tersepit.

Ibu Muhammad Firdaus, Zubaidah Ghani, 47, berkata, dia menerima suratan takdir walaupun hatinya hiba kerana kehilangan dua anak dalam tempoh sebulan.

“Bulan lalu, abang Firdaus, Mohd. Hafis, 28, meninggalkan kami buat selama-lamanya kerana kanser usus dan hari ini (semalam) dia pula pergi dalam keadaan mengejutkan.

“Sehari sebelum kejadian, Firdaus berselubung dengan selimut arwah abangnya selain memeluk erat badan saya secara tiba-tiba seolah-olah dia ingin memberitahu yang ajalnya semakin hampir,” cerita ibu kepada enam anak itu dalam nada sebak.

Sumber dari: Kosmo