KKR1M Dapat Sambutan Luar Dugaan KUALA LUMPUR: Walaupun baru dirasmikan pembukaannya Sabtu, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) menda...

Kedai kain 1malaysia



KKR1M Dapat Sambutan Luar Dugaan

KUALA LUMPUR: Walaupun baru dirasmikan pembukaannya Sabtu, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) mendapat sambutan di luar dugaan sehingga ada yang mengharapkan kedai berkenaan dapat dibuka di kawasan mereka secepat mungkin.



Lokasi KKR1M yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu terletak di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, namun ramai daripada kalangan pengunjung datangnya dari kawasan lain sekitar Lembah Klang.

Mahani Abu Bakar, 44 dari Kampung Rinching Hulu, Semenyih berkata beliau datang ke kedai itu untuk melihat sendiri barangan yang ditawarkan setelah mengetahui tentang pembukaan kedai itu pada minggu lepas.

"Kakak dengar daripada orang kampung ada kedai kain 1Malaysia jual kain murah-murah nak buka hari ini, tidak sangka harga dia murah sangat. Banyak juga potongan sampai 70 peratus pun ada. Mana nak cari kedai kain semurah macam ini kat Malaysia ni.

"Hari ini nak 'survey' dulu, esok akak nak datang balik dengan suami borong untuk baju raya keluarga kakak. Harap-harap adalah kedai kain begini dibuka di Semenyih lepas ini," kata operator pengeluaran itu.

Najib, ketika merasmikan KKR1M yang beralamat di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria Batu 14 di sini berkata 30 lagi KKR1M akan dibuka seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau berkata antara kain dijual di kedai itu ialah kain batik jacquard dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di pasaran, baju kemeja linen RM45 sehelai berbanding RM79 di pasaran serta kain satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.

Selain keperluan pakaian, kedai itu turut menawarkan barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah dan kelengkapan bersolat seperti sejadah dan songkok, katanya.

Seorang pekerja swasta K. Retchumi, 41, dari Wangsa Maju berkata kain dan pakaian yang dijual di KKR1M bermutu tinggi serta berbeza dengan kedai kain harga murah lain di negara ini.

"Selalunya kedai kain harga murah ini jual kain kualiti rendah, tetapi kedai ini jual kain yang berkualiti. Warnanya cantik-cantik pula. Bila Perdana Menteri (Najib) buat kedai kain begini lebih banyak wanita seperti saya akan undi dia.

"Inilah yang dikatakan janji ditepati, baru lagi Perdana Menteri kata nak buat KKR1M... sekarang sudah buat, sudah penuhi janji. Tidak macam pembangkang yang tahu tabur janji sahaja," katanya.

Siti Samihah Yusof, 54, suri rumah dari Beranang berkata KKR1M itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam membantu meringankan hidup rakyat.

"Sebelum ini kerajaan berjaya perkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang dapat sambutan amat menggalakan daripada rakyat, saya percaya KKR1M akan dapat sambutan yang sama.

"Amat bagus kedai ini dibuka di kawasan luar bandar kerana ramai yang tinggal di luar bandar berpendapatan rendah. Saya harap banyak lagi KKR1M dibuka di kawasan luar bandar di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KKR1M Mohd Noor Mohd Amin berkata Hulu Langat dipilih sebagai lokasi pertama premis berkenaan berdasarkan faktor lokasi yang strategik dan tidak jauh dari bandar.

Beliau berkata berdasarkan kedudukan tersebut, kedai itu diyakini dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Selangor untuk datang membeli-belah.

"Masyarakat Hulu Langat tidak lagi perlu bersusah payah untuk ke bandar bagi mendapatkan keperluan pakaian dan ini dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah," katanya.

Mohd Noor berkata pembukaan KKR1M itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, sekali gus menjana kepesatan ekonomi setempat dari sudut pembangunan nilai hartanah dan peniaga sekitar.

Katanya penubuhan KKR1M merupakan satu daripada langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan tekstil sewenang-wenangnya oleh peniaga.

Beliau berkata lebih 100 jenis barang ditawarkan di premis tersebut termasuk kain ela, kain kurung, baju melayu dan kain langsir yang kesemuanya produk tempatan. - BERNAMA