SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan berikutan dakwaan mengamuk sehingga mencederakan du...

Inspektor ditahan bantu siasatan



SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan berikutan dakwaan mengamuk sehingga mencederakan dua pekerja hotel bertaraf dua bintang selain merosakkan beberapa kenderaan di Seremban 2, di sini, kelmarin.



Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, lelaki berusia 32 tahun berkenaan pada mulanya bertikam lidah dengan dua pekerja hotel di kaunter lobi akibat tidak berpuas hati atas sebab tertentu.


Kejadian itu turut dirakam selama 10 minit menerusi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) hotel.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu, namun menafikan dakwaan pihak tertentu pegawai polis itu berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.


“Ujian air kencing yang dibuat menunjukkan pegawai polis berkenaan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Kami juga menafikan dakwaan kononnya dia turut mencederakan seorang daripada mangsa menggunakan pemegang pistol.


“Selain itu, kita masih menyiasat dakwaan mengenai pegawai polis itu turut merosakkan kenderaan di luar hotel itu.

“Punca dia bertindak demikian juga masih disiasat. Selain itu, kawad cam akan dilaksanakan dan ketika ini pegawai polis berkenaan ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Difahamkan kejadian itu menyebabkan seorang daripada mangsa terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana cedera di bahagian belakang telinga kiri akibat dihentak objek tumpul oleh pegawai polis itu.

Sumber dari: Metro