Gambar hiasan GEORGETOWN: Tindakan mencurigakan seorang wanita di sebuah rumah kosong di Rumah Panjang, Lorong Kulit, di sini sebelum ...

‘Emak’ tergesa-gesa tinggal bayi


Gambar hiasan

GEORGETOWN: Tindakan mencurigakan seorang wanita di sebuah rumah kosong di Rumah Panjang, Lorong Kulit, di sini sebelum lari dalam keadaan tergesa-gesa membawa kepada penemuan bayi lelaki, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, seorang lelaki ternampak wanita terbabit membongkok dalam rumah kosong itu dan menyedari dirinya diperhatikan, wanita berkenaan tergesa-gesa keluar dari rumah dan melarikan diri ke stesen bas berhampiran.


Lelaki yang melihat perbuatannya itu mengekorinya, tetapi tidak sempat menahannya kerana bas dinaiki wanita itu sudah bergerak lalu dia berpatah balik ke rumah kosong terbabit.

Dia terkejut melihat bayi lelaki yang masih hidup dan berpakaian lengkap, ditinggalkan dengan beralaskan guni bersama botol susu di sisinya.


Saksi terbabit, Jeffri Sabarudin, 27, seorang pekerja kontrak berkata, dia terkejut melihat bayi itu lalu memberitahu penduduk bagi mendapatkan bantuan.


“Saya terkejut melihat bayi yang masih bertali pusat dan berselimut dengan kain batik tidur dalam rumah terbabit sebelum memanggil jiran.

“Tidak lama selepas itu, bayi berkenaan menangis dan kami sekali lagi cuba menjejaki wanita terbabit, tetapi gagal dan dia dipercayai menaiki bas menuju ke Komtar atau terminal feri,” katanya.


Menurutnya, dia rakan-rakannya berbincang dan mencapai kata sepakat menghubungi polis kerana mengesyaki wanita itu membuang bayinya.

“Saya hanya sempat melihat wanita itu berbaju biru serta berseluar denim biru. Atas nasihat penduduk saya membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, setakat ini siasatan menunjukkan bayi terbabit baru berusia seminggu.


“Kami menghantar bayi berkenaan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dia disahkan sihat.


“Setakat ini, polis masih mengesan seorang wanita dipercayai warga Indonesia berusia 30-an bagi membantu siasatan,” katanya.