Sage Stallone LOS ANGELES - Anak lelaki bintang aksi Hollywood, Sylvester Stallone ditemui mati pada Jumaat di rumahnya di Hollywood,...

Anak lelaki Sylvester Stallone ditemui mati



Sage Stallone

LOS ANGELES - Anak lelaki bintang aksi Hollywood, Sylvester Stallone ditemui mati pada Jumaat di rumahnya di Hollywood, Amerika Syarikat (AS).



Pihak polis dan peguam Sage Stallone, 36, bagaimanapun memberikan kenyataan bercanggah bagaimana mayat pelakon dan pembikin filem itu dijumpai.

Jurucakap polis Los Angeles, Leftenan Andy Neiman memberitahu, mayat Sage ditemui di rumah selepas satu panggilan meminta pihak berkuasa memeriksa keadaannya. Sementara peguam George Braunstein pula menyatakan mayat dijumpai oleh seorang pembantu rumah.

"Ahli keluarga dan rakan-rakannya bimbang kerana tidak melihat Sage selama beberapa hari," kata Braunstein.

Sage merupakan anak kedua Stallone dengan isteri pertamanya, Sasha Czack. Dia pernah muncul dalam beberapa buah filem seperti Rocky V dan Daylight.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai seranta Stallone menyatakan: "Sylvester Stallone amat sedih atas kematian anaknya, Sage Stallone. Sage ialah seorang anak muda yang sangat berbakat dan baik. Kehilangannya akan dirasai selama-lamanya."

Polis dan Braunstein tidak memiliki sebarang perincian mengenai kematian Sage. "Kami tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci. Ini adalah kemalangan tragis. Sage tidak mengalami kemurungan atau sebagainya," jelas Braunstein. - Reuters