KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyenaraikan 10 laman web yang membenarkan aktiviti muat turun filem dan video secara tidak sah untuk disekat.
SKMM dalam satu kenyataannya memaklumkan perkara itu kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk berbuat demikian.
Menurut SKMM, pihaknya menerima permintaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mencegah capaian kepada laman web yang dikesan melanggar Akta Hak Cipta 1987 itu.
“Suruhanjaya sudah memaklumkan kepada pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengenai permintaan ini dan tindakan sedang diambil secara berperingkat,” katanya.
Mengikut akta berkenaan, pemegang lesen berkewajipan membantu SKMM mencegah perbuatan melakukan kesalahan atau percubaan melakukan kesalahan.
“Sehubungan itu, pematuhan kepada undang-undang ini tidak harus diertikan sebagai penapisan,” katanya.
Sumber dari: Metro