KAJANG: Kegembiraan seorang wanita berusia 19 tahun mandi di sebuah kolam renang berhampiran rumah bersama adik lelakinya berakhir trag...

Wanita berusia 19 tahun dirogol bergilir-gilir di Hotel bajet Semenyih


KAJANG: Kegembiraan seorang wanita berusia 19 tahun mandi di sebuah kolam renang berhampiran rumah bersama adik lelakinya berakhir tragedi apabila menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dalam kejadian di sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Kesuma, dekat Semenyih, di sini.

Sumber berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bersama adiknya pergi ke kolam berkenaan untuk mandi dan ketika mahu menukar pakaian di bilik persalinan, seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk ke bilik itu dengan memanjat tembok.


“Terkejut melihat keadaan itu, mangsa cuba melarikan diri, namun gagal selepas dihalang seorang lagi lelaki yang berada di depan pintu bilik persalinan berkenaan.

“Kedua-dua lelaki itu menolak mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan merogolnya serta memaksa mangsa melakukan seks oral,” katanya di sini, semalam. Menurut sumber, selepas dirogol, dua lelaki itu memaksa mangsa dan adiknya menaiki motosikal sebelum dibawa ke sebuah hotel bajet.


Katanya, suspek membawa adiknya ke sebuah restoran sebagai umpan.


Sebaik tiba di hotel berkenaan, mangsa dikatakan ditarik masuk ke dalam sebuah bilik hotel yang dihuni tiga lelaki lain dan dipaksa membuka pakaian sebelum dirogol bergilir-gilir selama dua jam.

Kelima-lima lelaki berkenaan menghantar mangsa pulang ke rumah sebelum mangsa menceritakan kejadian kepada ahli keluarga dan membuat laporan di Balai Polis Semenyih, Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber dari: Harian Metro