Instagram

Thursday, 21 June 2012

Lalai anak lemas dalam kereta ibu

----Click LIKE and SHARE-----


SEREMBAN: Remuk hati seorang ibu apabila mengetahui anak perempuannya yang juga murid tahun empat mati akibat lemas selepas tertinggal selama lebih enam jam di dalam kenderaan miliknya, di Sekolah Rendah Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di sini, semalam.


Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 2 petang apabila mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir, 10, dilihat masih berada di dalam kereta Perodua Alza berkenaan yang diletakkan di perkarangan kawasan sekolah terbabit.


Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Rembau berkata, anak kelima daripada lapan beradik itu pergi ke sekolah berkenaan dengan menaiki kereta dipandu isterinya, Haliza Talib, 44, kira-kira jam 6.30 pagi. “Sejurus tiba kira-kira jam 7.30 pagi, isteri saya yang juga guru di sekolah sama mahu cepat mengajar dan mengarahkan keempat-empat anak keluar dari kereta.

“Namun, Izzah (anak) dikatakan enggan keluar kereta kerana tidak memakai kasut. Selepas tamat waktu sekolah kira-kira jam 2 petang, isteri saya terkejut melihat Izzah seperti tidak sedarkan diri dan badannya terkulai. “Isteri segera menghubungi ambulans dan Izzah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensiki, semalam.


Menurut Mohd Khir, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.


Beliau berkata, dia sebelum itu sedang menghadiri mesyuarat di sekitar Port Dickson dan mengetahui kejadian berkenaan ketika dihubungi rakan sepejabatnya, kira-kira jam 3.30 petang.

“Saya diberitahu Izzah terperangkap di dalam kereta dan masih tidak mengetahui dia sudah meninggal dunia.


“Namun, apabila tiba di hospital, saya terkejut apabila dimaklumkan Izzah sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya yang reda dengan insiden memilukan itu. Kata Mohd Khir yang menetap di Taman Pinggiran Senawang, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali sempat meminta kunci Proton Iswara miliknya untuk mencari kasut, sebelum kejadian berlaku.

“Izzah bangun awal berbanding biasa dan memberitahu mahu mencari kasutnya. Saya tidak menyangka ia petanda pemergiannya yang sudah ditetapkan Ilahi,” katanya.


Menurutnya, jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yayasan Sofa, Rembau, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kecuaian penjaga dalam penjagaan anak.


“Siasatan awal mendapati mangsa berada di dalam kereta itu yang berkunci dan tingkapnya tertutup. Ibu mangsa dipercayai terlupa untuk menjenguk sebelum mendapati kanak-kanak berkenaan sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.


Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak tertinggal dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.

Sumber dari: Metro