KUALA LUMPUR 10 Jun — Gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Pr...

Gaji, pangkat punca bukan Melayu tak minat sertai sektor awam



KUALA LUMPUR 10 Jun — Gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.


Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan yang bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam.

"Mereka ini (bukan Melayu) banyak berkelulusan tinggi yang nak terus dapat jawatan dan gaji tinggi.

"Mereka juga melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan berkaitan kurangnya penyertaan kaum Cina dalam sektor awam.

Sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily pada Khamis lepas melaporkan memetik kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam bahawa lebih 1.12 juta permohonan sebagai penjawat awam diterima tahun lepas dan hanya 2.1 peratus terdiri daripada pemohon berbangsa Cina.

Sumber dari: Utusan