Seorang murid perempuan Tahun Enam, menempuh detik hitam apabila dikurung sekumpulan individu di sebuah rumah selama dua hari sebelum d...

Gadis 12 tahun dirogol bergilir-gilir selepas dikurung



Seorang murid perempuan Tahun Enam, menempuh detik hitam apabila dikurung sekumpulan individu di sebuah rumah selama dua hari sebelum dirogol dalam keadaan tidak sedarkan diri, selepas diberi sejenis minuman di Lembah Jaya Selatan, Ampang, kelmarin.


Mangsa yang tinggal di Bandar Tun Razak, di sini dikatakan mengikut rakan lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada Khamis lalu, sebelum dibawa bertemu rakan perempuan temannya itu yang menggelarkan diri sebagai ‘Mummy’.
Sebaik dipertemukan dengan ‘Mummy’, mangsa dikatakan dibawa ke sebuah rumah di kawasan Ampang dan turut diperkenalkan kepada dua wanita dan dua lelaki yang berada dalam rumah berkenaan sebelum ditempatkan di sebuah bilik.
Murid berkenaan dikatakan diberi sejenis minuman oleh ‘Mummy’ untuk menghilangkan dahaga sebelum tidak sedarkan diri selama dua hari.

Sumber polis berkata, mangsa hanya sedarkan diri selepas dikejutkan sekumpulan individu berkenaan yang memintanya bangun untuk mandi kira-kira jam 8.30 malam kelmarin iaitu dua hari selepas tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa yang tidak mengingati apa yang menimpa dirinya itu bergegas ke bilik air sebelum terkejut melihat beberapa kesan gigitan di bahagian leher, selain rasa sakit di bahagian kemaluan dipercayai dirogol ketika dia tidak sedarkan diri.

“Sebaik selesai mandi, enam individu termasuk rakan lelakinya itu sedang bersiap untuk keluar rumah dengan alasan mahu membeli makanan dan meminta mangsa menunggunya di rumah.
“Individu berkenaan juga sempat menyerahkan telefon bimbit mangsa sebelum keluar bersama beg galas dan komputer riba,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik sekumpulan individu berkenaan keluar, mangsa bergegas menghubungi ahli keluarganya meminta bantuan mengambilnya di rumah berkenaan, namun gagal kerana telefonnya kehabisan bateri sebelum nekad melarikan diri.

“Mangsa kemudian menggunakan telefon awam menghubungi ibu bapanya supaya mengambilnya di lokasi kejadian dan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Cheras,” katanya sambil menambah kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Sumber dari: Berita Harian