Toyota GT 86 menggantikan AE86 bakal tiba di Malaysia





GT86 yang lebih ranggi bakal menggantikan model lama AE86.

KUALA LUMPUR 1 April-Jika anda peminat siri kartun perlumbaan drift Initial D, anda pasti teringatkan kereta Toyota AE86 yang dipandu pelakon utamanya sehingga mampu menewaskan pelbagai kereta sports moden dalam perlumbaan jalanan.

Itu hanyalah siri kartun, secara realitinya manakan mampu AE86 yang direka sekitar tahun 1983 mampu menewaskan kereta sports moden, namun impaknya siri kartun tetap masih segar di hati dan diminati sehingga hari ini.

Mungkin dek penangan siri kartun tersebut, Toyota telah terdorong untuk melancarkan versi baharu AE86 dengan nama GT86 dan telah dipertontonkan di Pameran Automotif Tokyo tahun lalu dengan reka bentuk yang lebih aerodinamik dan moden.

Berita baik untuk peminat di Malaysia, dikhabarkan UMW Toyota Motor akan membawa masuk model berkenaan pada pertengahan tahun ini dan ia pasti mampu menghidupkan semula era kegilaan ke atas kenderaan dua pintu berkenaan.