PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini Khamis mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Utusan Melayu (Malaysi...

Kes Saman Utusan Melayu: Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan


PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini Khamis mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar RM60,000 sebagai ganti rugi kepada Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad kerana menerbitkan artikel bersifat memfitnah di akhbar itu dua tahun lepas.


Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menolak rayuan Utusan Melayu selepas memutuskan notis rayuan syarikat itu tidak kukuh.

Mahkamah membenarkan permohonan Khalid untuk membatalkan notis rayuan Utusan Melayu dengan alasan ia tidak kukuh kerana gagal mematuhi Seksyen 68(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu menyatakan rayuan untuk tuntutan kurang daripada RM250,000, kebenaran mesti diperoleh daripada mahkamah untuk mengemukakan rayuan.

Hishamuddin juga memerintahkan Utusan Melayu membayar kos RM10,000.