AYER KEROH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perbelanjaan majlis perkahwinan anak Ketua Menteri, Datuk Se...

SPRM perlu siasat Datuk Seri Mohd Ali Rustam



AYER KEROH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perbelanjaan majlis perkahwinan anak Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi mengenal pasti punca dana bagi majlis itu.

Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia penting kerana wujud keraguan dan persoalan mengenai punca dana yang digunakan untuk majlis perkahwinan berkenaan.

Menurutnya, ini kerana sekiranya mengikut pengiraan konservatif RM10 untuk setiap pengunjung, jumlah 130,000 sebagaimana dilaporkan menghadiri majlis itu membabitkan belanja RM1.3 juta.

Sehubungan itu katanya, Ketua Menteri perlu membuat pengisytiharan mengenai perbelanjaan untuk majlis itu sama ada ia ditaja pihak tertentu, menggunakan dana kerajaan ataupun duit persendirian.

"Jika beliau ikhlas dan jujur, tolong nyatakan segala perbelanjaan dan jika ia ditanggung individu tertentu, tolong nyatakan siapa yang taja.

“Tiada apa yang perlu beliau takutkan jika SPRM menyiasat kes ini sekiranya dana bukan daripada sumber yang salah, malah secara tidak langsung membantu membersihkan namanya," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang timbul akibat majlis perkahwinan anak lelaki Mohd Ali pada Ahad lalu, di mana 130,000 pengunjung dilaporkan hadir, sekali gus membolehkan majlis itu disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.

Beberapa pihak, terutama pembangkang menggunakan portal media alternatif untuk meminta Mohd Ali mengisytiharkan perbelanjaan dan punca dana yang digunakan.

Sumber dari: Sinar