KUALA TERENGGANU - Harga daging di negeri ini mengalami kenaikan sebanyak RM2 menjadikan harga sekilogram RM22 berbanding RM20 sebelum ini.
Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ab Ghani Harun berkata, hasil tinjauan pihaknya di Pasar Chabang 3 dan beberapa pasar yang menjadi tumpuan, peniaga menjual daging pada harga RM22 sekilogram.
“Antara alasan yang diberikan oleh pemborong dan penjual daging ialah berlaku kenaikan harga lembu dari Australia, fidlot dan Thailand. Pada tahun ini juga, berlaku kenaikan harga bagi kadar bayaran di tempat penyembelihan, iaitu sekitar RM50 bagi seekor.
“Selain itu, mereka menyatakan kos pengangkutan kini mencecah RM200 manakala lembu di negeri ini pula tidak boleh disembelih di rumah, sebaliknya perlu dihantar ke pejabat veterinar untuk disahkan tahap kesihatan dan bebas daripada penyakit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga barangan di Pasar Chabang 3 di sini, semalam.
Kata Ab Ghani, pihaknya telah membuat pemantauan berterusan sejak sebelum Ramadan dan mempunyai 80 pegawai penguat kuasa di seluruh negeri bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan pada bulan ini.
“Hasil pemantauan kida dapati harga daging dan ayam akan masih lagi terkawal dan bekalannya mencukupi, begitu juga bagi gula, gandum, tepung dan minyak masak, tiada masalah," katanya.
Sumber dari: Sinar

