KUALA LUMPUR – Seramai 15,384 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap manakala 364 majikan dikenakan pelbagai tindakan sejak 20 Okt...

Pihak Berkuasa Berkas 15,384 PATI



KUALA LUMPUR – Seramai 15,384 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap manakala 364 majikan dikenakan pelbagai tindakan sejak 20 Oktober 2011 hingga 13 Jun lalu.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, tindakan itu hasil penguatkuasaan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja / Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang dijalankan pihak berkuasa.

“Seramai 64 majikan dan 2,412 PATI telah didakwa di mahkamah manakala 128 majikan dan 1,020 PATI dikenakan kompaun dan 2,359 PATI diusir keluar.

“Seramaia 36 majikan dan 4,205 PATI masih dalam siasatan manakala baki 136 majikan dan 5,234 PATI telah dibebaskan berikutan tiada kes manakala 154 PATI adalah mangsa Anti Trafficking in Person (ATIP),” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahim berkata, pada masa sama seramai 580 warga Afrika ditahan di bawah penguatkuasaan Program 6P dengan Nigeria mencatatkan statistik tertinggi seramai 530 orang.

Manakala, kata beliau, seramai 22 warga Uganda turut ditahan; Botswana (6); Sudan, Zimbabwe dan Cameroon masing-masing (4); Zambia (2) dan masing-masing satu (1) bagi D’Ivory Coast, Eritheria, Guinea serta Algeria.

Tambah beliau, Terengganu mendahului jumlah bilangan penguatkuasaan yang dijalankan dengan 774 operasi, diikuti Perak (721); Negeri Sembilan (414); Johor (385), Pulau Pinang (355); Sabah (344); Selangor (320); Kedah (265); Melaka (241); Putrajaya (186); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (173); Kelantan (172); Pahang (170); Perlis (122); Sarawak (77) dan Wilayah Persekutuan Labuan (54).

Sehubungan itu, katanya, KDN mengingatkan orang ramai terutama para majikan supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai permit kerja serta dokumen yang sah.

Menurut beliau, operasi Penguatkuasaan sentiasa dilakukan KDN dari masa ke semasa demi untuk menangani masalah PATI di negara ini.