Memasang alat elektronik pada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) - akta penggganti ISA - yang dibebaskan untuk tujuan siasatan merupakan tindakan tidak wajar, kata peguam Edmund Bon.
"Alat itu membolehkan pihak polis dapat tahu anda berada di mana.
"Tetapi mengikut hak asasi manusia, ia tidak sepatutnya dikenakan kepada seseorang yang belum lagi disabit kesalahan," kata pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam itu.
Katanya, tindakan itu diperkenalkan kali pertama melalui Sosma dan akan dipakaikan kepada tahanan selepas mendapat kebenaran mahkamah.
"Jika anda disyaki, dengan perintah mahkamah, alat elektronik boleh dipasang sama ada di tangan atau di kaki.
"Saya sendiri tidak pasti bagaimana ia berfungsi," katanya dalam forum "Ancaman Senyap Sosma" di Kuala Lumpur malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dalam majlis sama berkata, tindakan itu menunjukkan tahanan tidak benar-benar bebas walaupun sudah keluar daripada kem tahanan.
"Mereka yang dibebaskan itu, bebas. Cuma tambah alat elektronik. Perkara macam ini nampak baik, tapi di bawah itu sebenarnya satu perkara yang jahat," kata Syed Ibrahim.
Sumber dari: Malaysiakini

.jpg)